Diriwayatkan bahawa pada zaman
Rasulullah s.a.w, Umar Ibnu Khattab salah seorang sahabat terdekat
Rasullulah s.a.w menangis di depan pintu salah seorang isteri
Rasullulah, yang didalamnya ada Rasulullah s.a.w. Mendengar suara Umar
Ibnu Khattab berada di luar, maka Rasulullah s.a.w segera keluar dan
bertanya kepada Umar Ibnu Khattab, “Hai Umar kenapa engkau menangis?”
Kemudian Umar menjawab: “Wahai Rasulullah, bersamaku ada seorang pemuda yang telah membuat hatiku sedih dengan tangisnya.”
Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan Umar
agar membawa masuk anak muda tersebut ke dalam. Atas perintah tersebut,
Umar Ibnu Khattab lalu mengajak pemuda yang datang bersamanya sambil
keduanya tetap menangis.
Pemuda itu disuruh duduk di depan
Rasulullah s.a.w dan Umar Ibnu Khattab duduk di sebelahnya. Rasulullah
s.a.w kemudian bertanya: “Hai pemuda, kenapa engkau menangis?”
Pemuda itu menjawab sambil tetap menangis: “Wahai Rasulullah, dosaku sangat besar dan aku takut Allah memurkaiku…”
“Apakah engkau telah menyekutukan Allah dengan sesuatu?” tanya baginda s.a.w.
“Tidak, ya Rasul,” sahut pemuda itu sambil tetap menangis.
“Apakah engkau telah membunuh seseorang dengan alasan yang tidak benar?” Rasulullah s.a.w kembali bertanya.
“Tidak ya Rasul,” sahut pemuda itu sambil terus menangis.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh, dosamu sebesar apa pun, Allah akan mengampuninya, sekalipun memenuhi langit dan bumi.”
“Sungguh dosaku lebih besar dari itu, ya Rasul,” sahut pemuda itu.
“Apakah besar dosamu melebihi Arasy? Besar mana dengan Arasy?” tanya baginda s.a.w lagi.
“Dosaku sangat besar, ya Rasulullah.”
“Lalu besar mana dosamu dengan keagungan, ampunan, dan rahmat Allah?” tanya Rasulullah s.a.w.
“Tentu keagungan, ampunan, dan rahmat
Allah lebih besar. Tetapi dosaku sangat besar, ya Rasulullah” jawabnya
diantara esakan tangisan.
Kerana kurang mengerti maksud pengakuan
dari pemuda itu, akhirnya Rasulullah s.a.w mendesaknya, “Cuba katakan
dosa apa yang pernah kau perbuat?”
“Aku malu menyebutnya, ya Rasulullah…” kata si pemuda itu.
Kerana Rasulullah s.a.w terus mendesak
pemuda itu untuk mengatakan dosanya secara jujur. Maka dengan perasaan
malu dan takut, pemuda itupun menceritakan dosa yang dilakukannya.
“Wahai Rasulullah, aku ini seorang
penggali kubur, sejak tujuh tahun lalu. Hingga meninggalnya puteri dari
seorang sahabat Ansar. Melihat kecantikan dan kemontokan tubuhnya, nafsu
berahiku memuncak. Setelah kuburan sepi, ku bongkar kuburnya dan ku
telanjangi mayat gadis itu. Setelah ku cumbui, nafsu berahiku tak dapat
ku tahan, lalu ku setubuhi. Ketika itu mayat gadis itu (diizinkan Allah)
berkata, “Tidakkah kau malu kepada Allah, pada hari Allah menghukumi
orang-orang berbuat zalim, sementara engkau menelanjangiku dan
menyetubuhiku diantara orang-orang yang telah mati. Engkau membuatku
dalam keadaan junub dihadapan Allah!”
Mendengar pengakuan dari si pemuda itu,
Rasulullah s.a.w segera bangkit berdiri dan meninggalkannya, seraya
berseru: “Hai pemuda fasik, pergilah! Jangan engkau dekati aku!
Nerakalah tempatmu kelak!”
Pemuda itu pun segera keluar
meninggalkan rumah Rasulullah s.a.w seraya menangis. Dia berjalan dengan
arah tak menentu keluar kampung. Sampailah dia di padang pasir yang
luas lagi panas. Tujuh hari lamanya ia tidak makan dan minum kerana
penyesalan dan kesedihan yang sangat mendalam hingga lemahlah keadaan
tubuhnya tak kuasa lagi berjalan, lalu kemudian jatuh tersungkur di
tempat itu. Di atas pasir ia bersujud kepada Allah, lalu berdoa dan
memohon ampunanNya dalam tangisnya.
“Ya Allah, aku adalah hambaMu yang telah
berbuat dosa besar. Sekarang aku datang ke pintuMu, agar Engkau
berkenan menjadi penolongku disisi kekasihMu. Sungguh Engkau Maha
Pemurah kepada hamba-hambaMu dan tiada tersisa harapanku kecuali
kepadaMu. Ya Allah Tuhanku, sudilah menerima kehadiranku, kalau tidak
datangkanlah apiMu dari sisiMu, dan bakarlah tubuhku dengan apiMu di
dunia ini, daripada Kau bakar tubuhku di akhirat nanti.”
Setelah itu Malaikat Jibril a.s datang
kepada Rasulullah s.a.w. Usai menyampaikan salam dari Allah, Jibril a.s
berkata: “Wahai Muhammad, Allah s.w.t bertanya kepadamu, “Apakah engkau
yang menciptakan makhluk?”
“Bahkan Dialah yang menciptakan diriku dan mereka,” jawab Rasulullah s.a.w.
“Apakah engkau memberi rezeki kepada mereka?” tanya Jibril a.s.
Rasulullah s.a.w menjawab: “Bahkan Dia memberi rezeki padaku dan mereka.”
“Apakah engkau menerima taubat mereka?” tanya Jibril a.s untuk kali yang sekiannya.
“Bahkan Dia yang berhak menerima taubat dan mengampuni dosa-dosa hamba-Nya” ujar Rasulullah s.a.w.
Jibril a.s lalu berkata, Allah berfirman
kepadamu; “Telah datang kepadamu seorang hambaKu dan dia menerangkan
satu dosa dari beberapa dosanya, maka kamu berpaling (marah) kepadanya
daripada dosanya, maka bagaimana keadaan orang-orang mukmin kelak,
apabila mereka datang dengan dosa yang banyak lagi besar ibarat gunung
yang besar? Engkau adalah utusanKu yang Aku utus sebagai rahmat untuk
seluruh alam. Maka jadilah kamu orang yang sayang menyayangi pada semua
orang yang beriman, menjadi penolong bagi orang-orang yang telah berdosa
dan memaafkan ketelanjuran dan kesalahan mereka (hambaKu); kerana
sesungguhnya Aku telah mengampunkannya (menerima taubatnya) dan
dosanya.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. mengutus
beberapa orang sahabat, maka mereka temui pemuda tersebut lalu
memberikan khabar gembira kepadanya dengan maaf dan ampunanNya. Lalu
mereka membawa pemuda tersebut berjumpa Rasulullah yang mana ketika itu
beliau (Rasulullah) sedang menunaikan sembahyang Maghrib, dan merekapun
bermakmum di belakangnya.
Ketika Rasulullah s.a.w. membaca surah
Al Fatihah yang dilanjutkan dengan surah At-Takaatsur (Al
Haakumuttakaatsur), sesampai baginda membaca ‘Hattaa Zurtumul Maqaabir’
(Kamu telah dilalaikan sehingga kamu masuk kubur), maka berteriaklah
pemuda itu dengan keras sekali langsung jatuh. Ketika mereka selesai
sembahyang, mereka dapati pemuda itu telah meninggal dunia.
Mudah-mudahan Allah Taala membelas kasihaninya.
No comments:
Post a Comment